JOHOR BAHRU — Remaja lelaki ditemui lemas dalam tasik dekat loji berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Permai, Jalan Denai 12, Kempas di sini.
Mayat remaja berusia 14 tahun itu ditemui pada 7.35 malam tadi selepas lebih sejam operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Mohd Yazid Abdul Rahman, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6 petang semalam.
Beliau berkata, seramai sembilan anggota bomba kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di tempat kejadian, didapati seorang mangsa lemas dan ditemui jam 7.35 malam,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, operasi ditamatkan pada 8.10 malam.
BH ONLINE