KUALA LUMPUR — Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun meninggal dunia ketika sedang beraksi dalam satu perlawanan bola sepak di padang bola di Semenyih, Kajang dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusuf, berkata mangsa dikatakan tiba-tiba rebah ketika perlawanan sedang berlangsung dalam separuh masa pertama.

Katanya, laporan kejadian itu diterima pihak polis pada jam 4.08 petang, kelmarin daripada seorang lelaki berusia 46 tahun yang juga jurulatih sebuah kelab bola sepak.

“Hasil siasatan mendapati semasa kejadian, mangsa yang sedang dalam perlawanan bola sepak rebah dengan tiba-tiba sebelum dikejarkan ke sebuah klinik berhampiran.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada jam 2.04 petang, hari sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Naazron berkata, hasil bedah siasat oleh pakar perubatan mengesahkan mangsa mempunyai masalah komplikasi jantung dan asma.

“Ketika kejadian, ibu bapa mangsa tiada bersamanya dan soal siasat mendapati mangsa memang biasa bermain bola sepak walaupun menghidap asma sejak kecil namun dikatakan tidak serius.

“Berikutan insiden ini, semua pihak terutama ibu bapa dinasihatkan agar membawa anak masing-masing untuk pemeriksaan kesihatan sebelum menyertai apa-apa kejohanan atau menyertai aktiviti sukan.

“Ini bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku dan memastikan kejadian sebegini tidak berulang,” katanya.

Kes dilkasifikasikan sebagai kematian mengejut atau SDR.

BH ONLINE

LATEST POSTS