JERANTUT — Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dikhuatiri lemas di Sungai Pahang ketika melakukan aktiviti memancing bersama dua rakan berdekatan jambatan di Kampung Jerantut Feri, dekat sini petang tadi.

Mangsa, Azri Fahmi, dilapor terjatuh dari rumah rakit ke Sungai Pahang sebelum dihanyutkan arus deras.

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, lapan orang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut bersama dua jentera dan sebuah bot aluminium bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 5.07 petang.

“Peringkat awal, anggota bomba melakukan penugasan mencari dan menyelamat di permukaan air menggunakan bot penduduk kampung sejauh kira-kira 1.5 kilometer,” katanya.

“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin, Temerloh kemudian dipanggil untuk membantu pencarian mangsa,” katanya.

BH ONLINE