HULU SELANGOR — Mahukan kebebasan tetapi dihalang dipercayai menjadi punca seorang remaja perempuan berusia 17 tahun menghilangkan diri sejak enam hari lalu dan gagal dikesan sehingga hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, Sharifah Amirah Alya Sayed Yusrizal, 17, dipercayai hilang dari rumahnya di Bandar Baru Batang Kali, di sini, pada jam 11.30 pagi 6 Ogos lalu.
Beliau berkata, pelajar Tingkatan Lima itu ada menyuarakan hasrat mahu bebas dan ibunya berusia 41 tahun memintanya supaya menghabiskan pelajaran terlebih dahulu.
“Sebelum ini, Sharifah Amirah Alya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Batang Kali itu dikatakan berulang kali menghilangkan diri namun tiada laporan dibuat ahli keluarga.
“Pada masa sama, remaja itu akan balik sendiri ke rumah kerana tiada hala tuju,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Ahmad Faizal berkata, ketika menghilangkan diri remaja itu tidak membawa dokumen pengenalan diri dan hanya berbekalkan telefon bimbit saja, selain tiada saksi awam melihatnya.
Katanya, Sharifah Amirah Alya juga tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan serta tidak menunjukkan tingkah laku luar biasa sebelum hilang.
“Ketika dilihat kali terakhir mangsa memakai baju hitam lengan panjang, seluar jeans hitam, tudung bawal dan memakai sandal.
“Fizikalnya berkulit cerah, tidak memakai cermin mata, berketinggian 150-155 centimeter (cm) dan berat badan sekitar 50-55 kilogram (kg),” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang menjumpai atau mempunyai maklumat kedudukan remaja perempuan terbabit supaya terus menghubungi mana-mana balai polis berhampiran, Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Siti Zulaikha Mohamed (03-60641222) atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor (03-60641223).
BH ONLINE