KOTA BHARU – Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta sebelum terbakar di Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini, malam tadi.

Mangsa, Muhammad Adam Abdullah, 17, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata hasil siasatan awal mendapati nahas dipercayai berlaku ketika kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an itu sedang dalam perjalanan dari arah Pasir Pekan menghala ke Kota Bharu.

Setiba di lokasi, beliau berkata, kereta itu dipercayai bergerak lurus di laluannya.

“Tiba-tiba, motosikal Honda EX5 yang ditunggang mangsa dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Pekan di laluan bertentangan dikatakan cuba memotong kenderaan jenis tidak pasti, namun gagal memasuki semula ke dalam laluannya lalu berlanggar dengan kereta itu pada bahagian hadapan.

“Motosikal mangsa terbakar dan akibat perlanggaran itu, penunggangnya meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemandu kereta terbabit pula mengalami kecederaan di bahagian tangan dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Mereka juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Syarafuddin Ramlee, melalui talian 09-7752315.

BH ONLINE


Facebook Posts

4 days ago

Berita Free

(Hot Dealz)Tudung Bawal Sulam Cotton SOPHIA Embroidery Premium Plain Scarf // Tudung Hijab Veil Sulam Klasik Ready Stocks.shopee.com.my/30ZsFUkZWf

See MoreSee Less

View on Facebook