SUNGAI PETANI – Seorang lelaki mengalami kecederaan parah di kepala apabila rumahnya dihempap pokok tumbang di Jalan Kampung Nyior, Bukit Selambau, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 1.18 pagi.

Susulan itu, beliau berkata, pasukan dari BBP Amanjaya yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Rofae Samsuiman bersama lapan anggota bergegas ke lokasi.

“Setiba di lokasi, didapati pokok tumbang menghempap sebuah rumah kelas B sehingga menyebabkan lelaki berusia 34 tahun itu parah di kepala.

“Tindakan awal dilakukan anggota bomba ialah mengeluarkan mangsa dari rumah terbabit. Lelaki itu juga diberikan rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azahari berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, operasi pembersihan pokok tumbang diteruskan oleh anggota bomba di lokasi.

BH ONLINE

LATEST POSTS