SARATOK — Sebanyak 26 keluarga di rumah panjang Tuai Rumah Spencer di Ulu Sebetan Roban, tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran, hari ini.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian itu apabila semua penghuni berjaya keluar lari menyelamatkan diri dari kediaman masing-masing.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 12.48 tengah hari.

“Setiba di lokasi, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan rumah panjang dua tingkat jenis separa kekal itu dengan api sudah memusnahkan keseluruhan struktur bangunan rumah panjang itu,” katanya.

Beliau berkata, bomba kemudian memulakan usaha memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran dan dua nozel yang mana sumber air diperoleh dari sumber terbuka iaitu sungai berdekatan.

“Selepas hampir dua jam memadam api, kebakaran akhirnya berjaya dikawal pada jam 2 petang.

“Kebakaran memusnahkan keseluruhan struktur bangunan rumah panjang dua tingkat itu,” katanya sambil menambah punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Difahamkan kesemua mangsa kini tinggal sementara di rumah sanak-saudara berdekatan sementara menunggu bantuan susulan tiba.

BH ONLINE

LATEST POSTS