BAGAN DATUK — Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM46.2 juta untuk membangunkan Projek Perumahan Rakyat menerusi pembinaan 150 unit rumah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di Bagan Datuk, di sini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata projek yang akan dibangunkan di atas tanah kerajaan berkeluasan 7.98 hektar itu membabitkan pembinaan rumah berkembar berkeluasan 660 kaki persegi, dilengkapi kemudahan infrastruktur asas termasuk dewan terbuka, surau, tadika dan taman permainan
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata tidak seperti perumahan yang dibangunkan pemaju swasta mahupun kerajaan daripada kementerian lain, PPRS di Bagan Datuk tidak dijual, sebaliknya diberi percuma kepada mereka yang layak bergantung kepada kuota dan proses pengundian.
“Projek perumahan awam perlu dipergiatkan di Bagan Datuk dalam mencapai wawasan menjadikan Bagan Datuk daerah maju suatu hari nanti seperti pernah dititahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, selain mengelak situasi tenaga kerja tempatan tinggal di luar Bagan Datuk.
“Pemaju perumahan atau pihak kerajaan menjual mengikut harga ditetapkan, tetapi KKDW di bawah Kerajaan MADANI memberikan rumah ini secara percuma mengikut kelayakan dan undian ditetapkan,” katanya pada sidang media Majlis Pecah Tanah Projek Pemajuan Kawasan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Simpang Tiga Bagan Datuk, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Datuk Idris Lasim.
Ahmad Zahid berkata, projek sama akan diperluaskan ke kawasan lain jika pegawai daerah memaklumkan ada lokasi sesuai untuk pembinaannya dalam usaha menambah jumlah rumah bagi memenuhi permintaan penduduk.
“Kita lihat pembangunan di Bagan Datuk sangat rancak tetapi pemaju perumahan dan rumah awam tidak banyak.
“Saya tidak mahu dengan adanya Jambatan Sultan Nazrin Shah yang menghubungkan antara Bagan Datuk dengan Pasir Salak, akan berlaku tenaga kerja di Bagan Datuk membeli rumah di Pasir Salak.
“Mereka sepatutnya membeli rumah di kawasan Bagan Datuk dan bukannya di Kampung Gajah, Lekir, Sitiawan atau di Manjung,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, projek perumahan itu sebelum ini pernah tergendala sebelum ini disebabkan jabatan teknikal terutama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menetapkan syarat supaya tambakan dilakukan setinggi tiga meter bagi sebarang pembangunan struktur bangunan di Bagan Datuk memandangkan ia kawasan tanah rendah.
“Kos projek ini sebelumnya terlalu tinggi disebabkan tanah di seluruh kawasan Bagan Datuk termasuk kawasan ini terlalu rendah, menyebabkan JPS mengenakan syarat untuk tanah ‘dinaikkan’ (tambak) sehingga tiga meter.
“Akhirnya JPS memberikan garis panduan baharu bahawa penambakan itu hanya perlu setinggi 1.5 meter. Jadi saya mahu FELCRA melalui Felcra Bina Sdn Bhd mempercepatkan penyiapan projek yang sudah tiga kali dipecah tanah ini kerana orang di Bagan Datuk amat perlukan perumahan awam,” katanya.
Sementara itu, Bahagian Komunikasi Korporat FELCRA berkata, projek di bawah Pemajuan Kawasan (PPK) RPT Simpang Tiga, Bagan Datuk itu adalah antara projek akan dibangunkan di Perak, selain di daerah Perak Tengah, Muallim dan Kerian berdasarkan keperluan pembangunan yang sudah dikemukakan pentadbiran daerah masing-masing melalui pentadbiran kerajaan negeri.
BH ONLINE