KUALA TERENGGANU — Seorang lelaki sanggup berhenti kerja dalam industri minyak dan gas untuk berniaga buah-buahan kerana mahu membantu dan memberi peluang pekerjaan kepada rakan di kampung.
Niat murni Mohd Afiffudin Rani, 31, dari Kampung Banggol Tuan Muda di sini itu wajar diberi pujian kerana sanggup melepaskan kerjayanya yang menjanjikan pendapatan tetap dan lumayan demi membantu rakannya.
Mohd Afiffudin tidak menyesal meninggalkan kerjaya yang menawarkan gaji yang besar pada Jun 2019 untuk menjalankan perniagaan itu.
“Pendapatan hasil menjual buah-buahan juga lumayan dan paling penting dapat membantu rakan yang menganggur di kampung mendapatkan pekerjaan.
“Bermodalkan RM10,000 daripada wang simpanan, saya menjalankan perniagaan buah-buahan dengan dibantu seorang rakan pada 2019.
“Selepas enam tahun berniaga, saya kini mampu mengupah empat pekerja yang terdiri daripada rakan-rakan sendiri di kampung yang menganggur,” katanya ketika ditemui di gerai buah-buahan miliknya, di sini, hari ini.
Mohd Afiffudin berkata, beliau gembira melihat rakan-rakan yang sebelum ini menganggur dan tiada hala tuju kini bekerja dan menghasilkan pendapatan sendiri.
“Walaupun gaji yang ditawarkan tidak terlalu besar tetapi pendapatan ini sekurang-kurangnya membiayai keperluan kehidupan mereka seharian.
“Mereka juga seronok bekerja kerana pekerjaan yang ditawarkan itu tidak membebankan malah ditawarkan bonus sekiranya jualan tinggi,” katanya.
Menurutnya, ramai yang mempersoalkan keputusannya berhenti kerja dan berniaga buah-buahan di kampung sebelum ini.
“Bagi mereka saya melepaskan tuah apabila berhenti kerja dalam industri minyak dan gas serta mencari masalah dengan berniaga.
“Tidak dinafikan ia sangat mencabar pada peringkat awal kerana kekurangan pelanggan tetapi lama kelamaan jualan buah-buahan semakin mendapat sambutan dan berkembang,” katanya.
Mohd Afiffudin berkata, dia mula menjual buah tembikai sebelum menambah jualan buah-buahan lain seperti epal, anggur, jambu seterusnya buah-buahan bermusim seperti durian dan cempedak.
“Selain buah-buahan, saya turut menjual pelbagai jenis ubi ketika musim tengkujuh,” katanya.
BH ONLINE