KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kecewa apabila terus menjadi sasaran fitnah berhubung buku tulisannya, Becoming Hannah: A Personal Journey yang diterbitkan pada 2014.
Hannah menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya sebagai tidak masuk akal dan fitnah lama yang diulang sejak beberapa tahun lalu.
Beliau menegaskan, sepanjang pembabitannya sebagai ahli politik dan figura awam, segala tindakannya sentiasa diawasi pihak polis.
“Buku saya ini diterbitkan pada 2014…sudah berapa tahun dah. Saya ni ahli politik dan figura awam…mana-mana saya pergi ada SB (unit cawangan khas), ada polis.
“Kalau saya ada murtadkan orang Islam tidak mungkin polis tidak tahu. Adakah saya boleh berdiri di sini setelah 10 tahun…ini semua fitnah tak masuk akal,” katanya ditemui selepas Sesi Penyerahan Projek Naik Taraf Kemudahan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Hannah turut meminta orang ramai untuk lebih bijak menyaring maklumat di media sosial supaya tidak terpedaya dengan fitnah yang disebarkan.
“Semua orang perlu selalu buat kajian dan semak fakta sama ada betul atau tidak,” katanya.
Beliau juga memaklumkan sudah membuat laporan polis pada 31 Disember lalu di Balai Polis Sentul kerana bimbang keselamatan dirinya dan keluarga akibat fitnah yang semakin meluas dan ekstrem.
“Saya mahu budaya macam ini dihentikan kerana negara kita negara aman dan saya rasa kalau kita nak bertarung dalam gelanggang politik, kita gunakan polisi dan bukan macam fitnah isu agama dan kaum seperti ini,” tegas Ahli Parlimen Segambut itu.
Sebelum ini, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengharamkan buku tulisan Hannah atas dakwaan kononnya ia mengancam keselamatan negara.
BH ONLINE