TANJONG KARANG — Sesi pembelajaran Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Karang, di sini, gempar selepas sebuah lori merempuh pondok pengawal keselamatan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, nahas jam 9.10 pagi itu berlaku di Kilometer 60 Jalan Klang-Teluk Intan, berhadapan sekolah terbabit.
Menurutnya, selain lori jenis Scania kemalangan turut membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra.
“Siasatan awal mendapati pemandu MPV lelaki berusia 36 tahun dalam perjalanan dari Tanjong Karang ke Kuala Selangor.
“Setibanya di lokasi, lori dari arah bertentangan memasuki jalan dan melanggar Naza Citra yang berada di lorong kanan. Kenderaan berat itu seterusnya melanggar pondok pengawal,” katanya ketika dihubungi.
Azaharudin berkata, kedua-dua pemandu tidak mengalami kecederaan.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Terdahulu, tular di laman sosial beberapa gambar memaparkan kemalangan di antara lori yang merempuh pondok pengawal keselamatan dan MPV.
BH ONLINE