SEREMBAN – Polis memberkas tiga lelaki disyaki terbabit kes tetak di sebuah pusat beli-belah di Bandar Seremban, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia 35 hingga 47 tahun itu ditahan di sekitar Port Dickson kira-kira jam 5 petang semalam.
“Kami berjaya menahan ketiga-tiga suspek dalam masa kurang 24 jam di Port Dickson, serta merampas sebilah parang dipercayai digunakan ketika kejadian itu.
“Hasil semakan mendapati kesemua suspek itu memiliki rekod jenayah dan dadah, termasuk jenayah kekerasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamad Hatta berkata, mereka kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan selepas permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes juga diklasifikasikan semula kepada Seksyen 326 daripada Seksyen 324 Kanun Keseksaan selepas tahap kecederaan mangsa dikenal pasti sebagai parah berdasarkan hasil pemeriksaan pegawai perubatan.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki berusia 40 tahun parah ditetak di sebuah pusat beli-belah, di sini, malam kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 7 malam itu dirakam sistem kamera litar tertutup (CCTV) sebuah premis dan tular dalam media sosial yang memaparkan seorang lelaki berparang dengan selamba menetak mangsa di kawasan tumpuan ramai.
Mohamad Hatta dipetik berkata, pihaknya percaya kejadian itu membabitkan unsur gangsterisme akibat dendam.
BH ONLINE