MADRID – Platform media sosial harus neutral dan tidak campur tangan dalam hal ehwal politik negara lain, kata jurucakap kerajaan Sepanyol pada Selasa, selepas Ketua Pegawai Eksekutif X Elon Musk mengulas statistik mengenai warga asing yang dipenjarakan kerana merogol di Sepanyol.

Pilar Alegria menjawab soalan mengenai pertelingkahan berprofil tinggi antara jutawan pemilik X dan pemimpin Eropah seperti Keir Starmer dari Britain dan Emmanuel Macron dari Perancis.

“Kami percaya bahawa platform ini mesti sentiasa bertindak dengan berkecuali mutlak dan lebih-lebih lagi, tanpa campur tangan,” katanya pada sidang akhbar.

Musk, yang akan berkhidmat dengan pentadbiran baharu Donald Trump sebagai penasihat luar, masuk campur hal ehwal Sepanyol pada Ahad dengan mengulas “Wow” sambil menyiarkan semula siaran X dari akaun Visegrad24 yang memaparkan tangkapan skrin artikel mengenai sabitan rogol di wilayah timur laut Sepanyol, Catalonia.

Artikel itu, yang pada asalnya diterbitkan oleh akhbar La Razon pada 27 September tahun lalu, memuatkan tajuk “91% daripada mereka yang disabitkan kesalahan merogol di Catalonia adalah warga asing” dan tajuk kecil “Pendatang membentuk 17% daripada jumlah penduduk di wilayah itu”.

Jurucakap Jabatan Kehakiman wilayah Catalan mengesahkan kepada Reuters data yang dipetik oleh media tempatan, sambil menambah bahawa ia diterbitkan pada awal musim panas lalu.

Data daripada pihak berkuasa Catalonia yang diketengahkan oleh La Razon menunjukkan bahawa 22 daripada 24 orang yang disabitkan atau ditahan reman atas tuduhan rogol di Catalonia adalah bukan warganegara Sepanyol.

“Kami tidak boleh membiarkan demokrasi jatuh ke tangan jutawan teknologi yang bersekutu dengan sayap kanan,” kata pemimpin wilayah Sosialis Catalonia, Salvador Illa, dalam satu acara di Barcelona pada Selasa.

“Kami tidak akan membenarkan sesiapa menggunakan nama Catalonia untuk menyebarkan ucapan kebencian,” tambah Illa, tanpa menamakan Musk secara jelas.

Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez, yang pendirian liberalnya terhadap imigresen dikritik keras oleh parti sayap kanan Vox, telah menolak sebarang kaitan antara kadar imigresen dan jenayah dan telah berkata bahawa “orang asing tidak lebih baik dan tidak lebih buruk daripada orang Sepanyol” dari segi jenayah.

Kadar jenayah Sepanyol sama ada kekal stabil atau berkurangan setiap tahun sejak 2011. Laporan Kementerian Dalam Negeri Sepanyol yang diterbitkan pada September menyimpulkan “fenomena imigresen tidak mempunyai kesan negatif atau ketara terhadap kadar jenayah”.

REUTERS