KAHERAH/GAZA – Serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya 14 rakyat Palestin dalam tiga serangan berasingan di Semenanjung Gaza pada Ahad, menjadikan jumlah kematian hujung minggu kepada 102, kata medik Palestin, ketika pengantara Amerika Syarikat (AS) dan Arab meningkatkan usaha untuk memuktamadkan perjanjian gencatan senjata.

Pegawai kesihatan berkata serangan udara Israel membunuh lima orang di sebuah rumah di kem Nuseirat di tengah Gaza, manakala satu lagi serangan udara membunuh empat yang lain di Jabalia di pinggir utara enklaf itu, di mana tentera Israel beroperasi selama tiga bulan.

Kemudian pada Ahad, serangan udara Israel melanda sebuah balai polis di Khan Younis di selatan Gaza, membunuh lima orang, kata medik. Tidak dapat dipastikan segera sama ada semua yang mati adalah anggota polis.

Tentera Israel tidak segera mengulas mengenai serangan Ahad.

Terdahulu pada Ahad, kementerian kesihatan Gaza dikendali Hamas berkata serangan Israel di seluruh wilayah itu telah membunuh sekurang-kurangnya 88 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 200 yang lain dalam tempoh 24 jam lalu.

REUTERS