Tentera Israel berkata ia membunuh seorang warga Palestin yang dituduh terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel dalam serangan kenderaan di Gaza, dan sedang menyiasat dakwaan bahawa individu itu adalah pekerja kumpulan bantuan World Central Kitchen.

Sekurang-kurangnya 32 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan tentera Israel di Gaza semalaman dan hingga Sabtu, dengan kebanyakan mangsa dilaporkan di kawasan utara, kata pakar medik kepada Reuters.

Kemudian pada Sabtu, medik berkata tujuh orang terbunuh apabila serangan udara Israel menyasarkan sebuah kenderaan dekat perhimpunan rakyat Palestin yang menerima bantuan di kawasan selatan Khan Younis di selatan enklaf itu.

Menurut penduduk dan sumber Hamas, kenderaan yang disasarkan berhampiran orang ramai yang menerima tepung adalah milik anggota keselamatan yang bertanggungjawab mengawasi penghantaran bantuan ke Gaza.

Antara 32 yang terbunuh, sekurang-kurangnya tujuh maut dalam serangan Israel ke atas sebuah rumah di tengah Bandar Gaza, menurut kenyataan Pertahanan Awam Gaza dan agensi berita rasmi Palestin WAFA awal Sabtu.

Pertahanan Awam Gaza juga melaporkan seorang pegawainya terbunuh dalam serangan di Jabalia di utara Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan pekerja pertahanan awam yang terbunuh sejak 7 Oktober 2023, kepada 88 orang.

Terdahulu pada Sabtu, WAFA melaporkan tiga pekerja World Central Kitchen, sebuah agensi kemanusiaan bukan kerajaan berpangkalan di AS, terbunuh apabila kenderaan awam menjadi sasaran di Khan Younis, selatan Gaza.

The World Central Kitchen masih belum mengulas mengenai kejadian itu.

AN-REUTERS