SANAA, 14 Jun – Serangan udara Israel pada malam Sabtu melanda sebuah rumah di ibu kota Yaman, Sanaa, di mana “pertemuan rahsia pemimpin kanan Houthi” didakwa berlaku, menurut sumber yang rapat dengan kumpulan Houthi.
Rumah itu, yang terletak di selatan Sanaa, telah dikepung oleh pasukan keselamatan Houthi ketika ambulans bergegas ke tempat kejadian.
Media tempatan anti-Houthi melaporkan di media sosial bahawa mesyuarat itu dipengerusikan oleh Mahdi al-Mashat, ketua Majlis Politik Tertinggi, dan Abdulkarim al-Gumari, ketua kakitangan tentera Houthi.
Sumber media lain melaporkan pertemuan rahsia itu turut dihadiri oleh pemimpin tertinggi Houthi Abdul-Malik al-Houthi; ketua Jawatankuasa Revolusi Tertinggi Houthi, Mohammed Ali al-Houthi; dan ketua perisikan tentera Houthi, Abu Ali al-Hakim.
Houthi masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi.
Penduduk yang tinggal dekat rumah yang menjadi sasaran memberitahu Xinhua mereka melihat sekurang-kurangnya 10 mayat hangus di tempat kejadian.
Kumpulan Houthi, yang menguasai sebahagian besar utara Yaman, telah menyasarkan Israel sejak November 2023 dalam menunjukkan solidariti dengan rakyat Palestin di tengah-tengah perang Israel-Hamas yang berterusan di Gaza.
Kumpulan itu mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Iran, berikrar dalam satu kenyataan bahawa ia akan memperhebatkan serangan peluru berpandu jarak jauh terhadap Israel.
XINHUA