KUALA LUMPUR — Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Hussien Syed Abdullah, mempersoalkan kenyataan yang dilemparkan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menerusi media sosial semalam.

Syed Hussien berkata, beliau melihat satu ciapan di laman sosial yang menyatakan ada satu pantun yang dikeluarkan oleh Ahmad Fadhli.

“Selepas mengamati tulisan itu, ada beberapa persoalan yang berlegar di fikiran saya iaitu adakah biawak yang dimaksudkan ini adalah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atau Polis Diraja Malaysia (PDRM)?

“Jika ya, ini merupakan satu penghinaan terhadap institusi diraja kerana menyamakan atau memperumpamakan haiwan terhadap Seri Paduka atau PDRM dilihat keterlaluan walaupun dahagakan politik murahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Hussien berkata, umum maklum bahawa Istana Negara sudah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa peluang untuk memohon rayuan masih terbuka dan boleh dimohon semula.

“Bukankah kita sebagai rakyat Malaysia berpegang pada prinsip Rukun Negara iaitu perkara kedua yang menyatakan ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’ serta perkara empat ‘Kedaulatan Undang-Undang’.

“Jangan samakan parti UMNO dengan parti lain yang terlalu dahagakan simpati politik hingga sanggup menghasut agar rakyat tidak ada rasa hormat pada institusi beraja dan negara ini.

“Maka, saya ingin bertanyakan kepada Ahmad Fadhli berkenaan kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini adakah ia betul atau tidak dan jika ia berbau penghinaan, satu laporan polis akan saya lakukan jika kenyataan tidak dikeluarkan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadhli dalam kenyataan di Facebook hari ini, berkata pihaknya akan menjelaskan siapa ‘biawak’ yang beliau maksudkan ketika Himpunan Solidariti Datuk Seri Najib Razak berhubung isu Titah Adendum pada 6 Januari ini.

Ahmad Fadhli berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Pemuda UMNO yang secara jelas mengisytiharkan akan berjumpa pada 6 Januari ini.

“Bermaksud kehadiran 6 Januari ini bukan bererti tidak hormat kepada titah YDPA kerana tiada pun maksud halangan dari titah YDPA itu untuk himpunan 6 Januari. Inilah Pemuda anak jantan!

“Jangan jadi macam sesetengah pemimpin anda yang terus undur bila disergah DAP. Jika jumpa, saya jelaskan siapa biawak,” katanya.

BH ONLINE