PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan penemuan wang tunai hampir RM800,000 dalam serbuan di kediaman dua pegawai Imigresen bergred rendah yang terbabit sindiket ‘counter setting’.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata selain RM518,250 dalam bagasi di bilik tidur pegawai wanita Imigresen Gred KP22 di kediamannya di Pahang, pihaknya turut menemui wang tunai RM248,443 yang disimpan di bawah katil bilik utama pegawai Imigresen lelaki Gred KP19 di rumahnya di Melaka.
Jumlah yang ditemukan dalam dua serbuan itu, katanya adalah sebahagian daripada keseluruhan wang tunai RM1.49 juta yang disita daripada penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket ‘counter setting’.
“Sepanjang operasi ini, SPRM turut menyita wang tunai AS$9,900 (RM41,990) serta 5,470 Bath (RM696),” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Selain tunai, Azam berkata, pihaknya turut menyita 27 keping dinar emas seberat 575.75 gram dengan anggaran nilai melebihi RM200,000 daripada pegawai Imigresen Gred KP22 di Negeri Sembilan.
Sepanjang operasi terbabit, katanya pihaknya juga menyita 22 kenderaan membabitkan sembilan kereta dan 13 motosikal, selain lebih 75 barangan kemas seperti cincin, gelang, rantai, loket dan subang serta 12 jam tangan pelbagai jenama.
SPRM turut membekukan 215 akaun bank milik 16 syarikat dan 84 individu dengan nilai pembekuan melebihi RM3.6 juta.
Dalam pada itu, Azam mendedahkan modus operandi ‘counter setting’ adalah sindiket mempromosikan pakej untuk masuk ke Malaysia menerusi platform media sosial khususnya Facebook dan Telegram.
Katanya, ejen akan menghubungi pegawai Imigresen menerusi aplikasi WhatsAapp untuk mendapatkan tarikh sesuai membolehkan kumpulan warga asing datang ke Malaysia sebagai pelancong.
“Pegawai Imigresen kemudian akan memberikan ‘green light’ (lampu hijau) jika tarikh berkenaan sesuai.
“Ejen atau sindiket akan memberikan butiran pasport dan gambar kumpulan warga asing yang akan tiba menerusi WhatsApp kepada pegawai Imigresen terbabit.
“Pegawai itu akan memberikan maklumat nombor ‘kaunter khas’ yang perlu dituju oleh kumpulan warga asing untuk pelepasan masuk ke Malaysia,” katanya.
BH ONLINE