IPOH — Sepasang suami isteri maut, manakala dua lagi parah apabila kereta dinaiki empat sekeluarga itu merempuh tembok di Jalan Kuala Kangsar, berhampiran sebuah premis jual beli kenderaan di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan jam 10.46 malam itu berlaku ketika empat mangsa berumur antara 49 hingga 75 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Tasek menuju ke Pekan Ipoh.
“Setiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 52 tahun itu dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar tembok di kiri jalan.
“Akibat perlanggaran itu, dua penumpang yang juga ibu bapa mentua kepada pemandu berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala.
“Pemandu dan seorang lagi penumpang kereta itu turut mengalami kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan).
“Polis meminta saksi kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Faiz Abdul Khalim, melalui talian 018-3728477 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
BH ONLINE