Suami maut, isteri, dua anak cedera nahas di KM127.8 Lebuhraya Utara Selatan

KEPALA BATAS – Seorang lelaki maut manakala isteri dan dua anaknya cedera selepas kenderaan mereka dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 127.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan nahas itu jam 7.51 pagi.

Katanya, nahas membabitkan kenderaan jenis Proton Wira dinaiki empat beranak dan sebuah Proton Saga dipandu lelaki berusia 35 tahun.

“Dalam kemalangan itu, seorang lelaki berusia 33 tahun yang juga pemandu Proton Wira disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya berusia 31 tahun, cedera tulang belakang.

“Dua anak mereka masing-masing berusia enam dan lapan tahun cedera ringan manakala lelaki yang memandu Proton Saga turut cedera ringan.

“Semua mangsa dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

John berkata mayat pemandu itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat manakala semua mangsa yang cedera turut dihantar di tempat sama untuk rawatan lanjut.

BH ONLINE