JOHOR BAHRU – Dua remaja lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes menyebarkan foto suntingan berunsur lucah membabitkan pelajar dan bekas pelajar sebuah sekolah persendirian di Kulai.
Kebenaran perintah reman bermula hari ini diberikan Majistret Nabilah Nizam selepas dipohon pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.
Seorang daripada mereka berusia 16 tahun direman lima hari sehingga Ahad, manakala tempoh reman enam hari diberikan kepada seorang lagi berusia yang 19 tahun.
Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) merujuk kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, terutama berkaitan dengan penyebaran kandungan jelik, lucah, palsu, mengugut atau mengganggu melalui internet atau media elektronik.
Minggu lalu, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar mengesahkan penahanan seorang remaja yang masih bersekolah itu di sekitar Kulai kira-kira jam 5 petang, 8 April lalu.
Penahanan dibuat susulan laporan diterima daripada seorang remaja perempuan berusia 18 tahun mendakwa terdapat foto lucah disunting menggunakan wajahnya tular di media sosial.
Mangsa mendapati foto lucah itu turut cuba dijual dalam talian dan siasatan awal mendapati suspek memperoleh gambar mangsa daripada akaun media sosial sebelum menyuntingnya menggunakan aplikasi AI.
Setiap keping foto dipercayai dijual pada harga RM2.
BH ONLINE