KUANTAN — Suri rumah berusia 28 tahun yang dilaporkan hilang semalam, ditemukan mati dengan kesan jerutan pada leher di bilik tidur di kediamannya di Indera Mahkota, di sini.
Mangsa yang mempunyai anak lelaki berusia tiga tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh suaminya di rumah itu, jam 7.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata bapa mangsa yang berusia 62 tahun membuat laporan kehilangan anak perempuannya itu, pada 3.25 petang hari kejadian.
“Bapa mangsa memaklumkan kali terakhir dapat menghubungi anaknya itu melalui pesanan WhatsApp pada 8.30 pagi hari kejadian.
“Bagaimanapun, kira-kira 7.30 malam, bapa wanita itu dihubungi menantu, memaklumkan mangsa tidak sedarkan diri dalam bilik tidur di rumah dengan kesan jerutan pada leher,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, siasatan mendapati wanita berkenaan adalah isteri kepada warga China yang bekerja sebagai penyelia kilang.
“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Berikutan itu, beliau mengesahkan empat ahli keluarga wanita terbabit yang berusia antara 27 hingga 62 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
BH ONLINE