KUALA LUMPUR — Suspek tikam dua wanita dengan pisau rambo dekat tandas Surau Al-Ehsaniah Ahmadiah, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Jumaat lalu, sudah ditahan polis, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, berkata suspek yang juga seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun itu ditahan di sebuah lokasi di Kajang, Selangor.

“Suspek dalam kes tikam di tandas surau akan direman pagi ini.

“Suspek ditahan di rumah kenalannya di Kajang, Selangor kira-kira jam 1.30 pagi pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan , hari ini.

Katanya, proses permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Petaling Jaya.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari, seorang jurujual berusia 26 tahun mengalami kecederaan di kepala dan perut manakala guru besar berusia 52 tahun mengalami luka pada lengan dan tangan kiri.

Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan dengan mangsa yang berusia 26 tahun menerima rawatan lanjut, manakala seorang lagi mangsa dirawat sebagai pesakit luar.

Siasatan awal polis mendapati kedua-dua mangsa itu tidak mengenali suspek.

Setakat ini, tujuh orang saksi sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

BH ONLINE

LATEST POSTS