KOTA TINGGI — Seorang wanita warga Indonesia bertindak meninggalkan bayi lelakinya di sebuah hospital di sini, selepas tidak mampu menjelaskan bil rawatan berjumlah RM45,000.

Sumber berkata, bayi lelaki itu dilahirkan bersama kembarnya dan kedua-duanya adalah bayi pra matang pada 26 Julai lalu di sebuah kebun kelapa sawit di sini.

Katanya, bagaimanapun, kembarnya meninggal dunia, manakala bayi terbabit di bawa ke klinik sebelum ke sebuah hospital.

“Kemudian bayi itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) hospital berkenaan bagi rawatan lanjut pada 27 Julai lalu.

“Difahamkan, ibunya yang juga warga Indonesia meninggalkan bayi itu selepas gagal membayar kos rawatan yang mencecah RM45,000,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Kota Tinggi, Nor Haslinda Mohd Surandi, berkata bayi itu kini berusia lima bulan dan dalam keadaan sihat.

Katanya, bayi berkenaan menjadi mangsa pengabaian ibunya dan sehingga kini wanita itu gagal tampil untuk menuntutnya.

“Bayi ini diselamatkan dan ditempatkan di Institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan perintah mahkamah.

“Ibu kandung bayi itu dikenali sebagai Rostah yang juga warga Indonesia dan difahamkan dia meninggalkan bayinya selepas gagal menjelaskan bil hospital.

“Bayi ini lahir sebagai bayi pra matang dan dilahirkan di kebun kelapa sawit, Felda Bukit Besar dan kini berada dalam keadaan sihat serta sudah mencecah usia lima bulan. Alamat terakhir ibu kandung adalah di Kota Tinggi.

“Sehingga kini, ibunya atau waris terdekat tidak dapat dihubungi dan tidak pernah hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kota Tinggi bagi tujuan menuntut bayi itu,” katanya.

Beliau berkata, bayi berkenaan dikategorikan sebagai kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

“Orang awam atau waris yang mengenali ibu kandung bayi ini boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak Daerah Kota Tinggi, Nur Nabihah Johari di talian 07-8835536.” katanya menerusi siaran media hari ini.

BH ONLINE