TAMPIN — Tukang masak yang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai terlanggar seekor lembu dekat Kilometer 43, Jalan Tampin- Gemas, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata kejadian jam 12.30 tengah malam, mangsa parah di kepala dan maut di lokasi kejadian.
“Siasatan mendapati mangsa difahamkan dalam perjalanan dari kedai makan di Sungai Kelamah menghala rumahnya di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, di sini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Apabila sampai di KM43 Jalan Tampin- Gemas, penunggang motosikal dikatakan terlanggar seekor lembu di tengah jalan lalu hilang kawalan, terbabas dan jatuh ke jalan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta hubungi Balai Polis Trafik Daerah Tampin di talian 064412502 atau hubungi talian 0174002611 bagi membantu siasatan.
BH ONLINE