KUALA LUMPUR — Perkhidmatan teksi air dan ‘cruise’ tasik akan disediakan sebagai medium pengangkutan untuk orang ramai menghadiri acara sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.

Jurutera Perbadanan Putrajaya, Faridz Amli Shaharudin, berkata pengunjung yang ingin menggunakan perkhidmatan secara percuma itu boleh menaiki teksi air di Jeti Kelab Tasik Putrajaya dan Jeti Ayer 8, manakala ‘cruise’ tasik pula di Jeti Marina.

Beliau berkata, tiga kawasan parkir utama turut disediakan, iaitu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang boleh memuatkan hingga 1,200 kenderaan, sekitar Taman Botani dan Bulatan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, serta Putrajaya Sentral.

“Kita juga menyediakan 80 bas ulang-alik membabitkan 40 bas dua tingkat dan 40 bas setingkat. Kita sarankan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam kerana pada tahun ini, kita tidak membenarkan kenderaan masuk berikutan ‘core island’ akan ditutup keseluruhannya,” katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), hari ini.

Faridz Amli berkata, kapasiti tempat duduk awam pada acara sambutan itu juga ditambah kepada 8,000, tahun ini, berbanding 4,000 pada tahun lalu bagi membolehkan orang ramai menyaksikan pelbagai persembahan, termasuk perarakan aset dan kontinjen.

Bagi pengunjung yang mula ‘berkampung’ pada malam sebelum acara sambutan, katanya, dua lokasi menjual makanan disediakan seawal jam 8 malam, iaitu di kawasan bangunan Suruhanjaya Tenaga dan Tapak Royal Floria Putrajaya yang menghimpunkan sekitar 162 peniaga, serta dua lokasi trak makanan bergerak di Lebuh Bestari dan Jalan Kemerdekaan.

Beliau berkata, Perbadanan Putrajaya selaku Jawatankuasa Logistik dan Persiapan Tempat sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos, turut menyediakan kemudahan lain seperti khemah perubatan, surau serta tandas bergerak untuk keselesaan pengunjung.
BH ONLINE-BERNAMA

LATEST POSTS