
KAHERAH, 14 Jun – Serangan udara dan tembakan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 35 rakyat Palestin di seluruh Jalur Gaza, kebanyakan mereka dekat tapak pengagihan bantuan dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong AS, kata pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Pegawai perubatan di Hospital Al-Awda dan Al-Aqsa di kawasan tengah Gaza, di mana kebanyakan mangsa dipindahkan, berkata sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh ketika mereka cuba mendekati tapak pengagihan bantuan GHF dekat koridor Netzarim.
Selebihnya terbunuh dalam serangan berasingan di seluruh enklaf itu, tambah mereka. Tiada komen segera oleh tentera Israel atau GHF mengenai insiden pada Sabtu.
GHF mula mengedarkan bungkusan makanan di Gaza pada penghujung Mei, mengawal model baru pengagihan bantuan yang dikatakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tidak saksama atau neutral.
Kementerian kesihatan Gaza berkata dalam satu kenyataan pada Sabtu, sekurang-kurangnya 274 orang setakat ini telah terbunuh, dan lebih daripada 2,000 cedera, dekat tapak pengagihan bantuan sejak GHF memulakan operasi di Gaza.
Hamas, yang menafikan tuduhan Israel bahawa ia mencuri bantuan, menuduh Israel “menggunakan kelaparan sebagai senjata perang dan menjadikan tapak pengedaran bantuan menjadi perangkap kematian beramai-ramai orang awam yang tidak bersalah”.
Kemudian pada Sabtu, pegawai kesihatan di Hospital Shifa di Gaza berkata tembakan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin, yang berkumpul untuk menunggu trak bantuan di jalan pantai utara jalur itu, menjadikan jumlah kematian pada Sabtu kepada sekurang-kurangnya 35.
Tentera Israel mengarahkan penduduk Khan Younis dan pekan berdekatan Abassan dan Bani Suhaila di selatan Jalur Gaza meninggalkan rumah mereka dan menuju ke barat ke arah yang dipanggil zon kemanusiaan, dengan mengatakan ia akan menentang “organisasi pengganas” di kawasan itu.
REUTERS