KEPALA BATAS – Seorang suri rumah kerugian RM521,450 selepas terpedaya dengan pelaburan yang diperkenalkan oleh jirannya sejak tiga tahun lalu.
Mangsa berusia 57 tahun hanya sedar dirinya terjebak dalam penipuan itu selepas tidak dapat mengeluarkan keuntungan yang diperoleh.
Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad, berkata siasatan awal mendapati mangsa diperkenalkan satu pelaburan dinamakan Khazanah Bank Negara oleh jirannya yang kemudian memperkenalkannya dengan seorang wanita berperanan sebagai pegawai pemasaran.
“Wanita itu (suspek) memberikan penerangan kepada mangsa pelaburan itu menawarkan simpanan dan pelaburan satu kali ganda daripada jumlah modal dalam tempoh sebulan.
“Mangsa yang berminat mula membuat bayaran pada 4 Mac 2022 hingga 22 Januari 2024 membabitkan 51 transaksi ke dalam lima akaun bank berbeza berjumlah RM521,450.
“Dia akhirnya sedar ditipu apabila ingin mengeluarkan keuntungan yang diperoleh, tetapi suspek asyik memberikan pelbagai alasan kepadanya iaitu pelaburan mangsa belum mencapai tempoh matang dan mangsa tidak perlu risau kerana wang disimpan dalam Bank Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pada masa sama suspek juga meminta mangsa membuat pelbagai bayaran tambahan bagi urusan mendapatkan modal dan keuntungan.
“Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
BH ONLINE