Terpaksa kerja buruh, rumah pula terbakar, Aiman teruskan hasrat ke Kolej Matrikulasi

JELI – Demi meneruskan cita-cita ke menara gading, seorang pelajar lelaki nekad bekerja sebagai buruh bagi membolehkan dia mencari wang untuk melanjutkan pelajaran supaya dapat mengubah nasib hidupnya.

Muhammad Aiman Haqimie Muhammad Zamri, 18, mengakui tidak dapat membawa pulang wang yang banyak, hasil dua bulan bekerja buruh di Jerantut, Pahang, kerana sudah perlu mendaftar kemasukan ke Kolej Matrikulasi Kelantan pada esok.

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, dalam dia berusaha mencari rezeki demi melanjutkan pelajaran, kediamannya sekeluarga di Kampung Ayer Chanal, di sini, terbakar 100 peratus pada 25 Mei lalu, menyebabkan mereka sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang.

Katanya, bagaimanapun, dia tetap meneruskan impiannya untuk melanjutkan pelajaran selepas turut mendapat dorongan bapa, Muhammad Zamri Mahamat, 46, dan ibu, Maizatul Hashilawati Mohd, 44, walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

Saya tiada pilihan lain sebaliknya perlu terus kuat berhadapan dengan cabaran untuk melanjutkan pelajaran kerana ini satu-satunya jalan untuk merubah nasib kehidupan saya dan keluarga. Tambahan pula, saya menjadi harapan ibu dan ayah selepas abang sulung tidak dapat meneruskan pengajian juga kerana masalah kewangan.

“Sejujurnya, banyak kelengkapan yang masih belum dibeli dan saya hanya memfokuskan untuk melengkapkan segala dokumen yang diperlukan untuk mendaftar esok. Bapa pula terpaksa menyewa kereta untuk menghantar saya ke Kolej Matrikulasi memandangkan satu-satunya kereta yang ada, rosak sejak beberapa tahun lalu dan tidak mampu untuk dibaiki.

“Persiapan dilakukan ala kadar sahaja kerana tidak mahu membebankan ibu dan ayah, namun dalam masa sama, saya berdoa agar ada rezeki untuk saya membeli kelengkapan lain selepas ini termasuk komputer riba,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan wakil Thirdforce dibawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar, di kediamannya di Kampung Ayer Chanal, di sini, semalam.

Tuan Zaimah turut menyampaikan sumbangan kewangan dan barangan keperluan selain sempat meninjau tapak kediaman keluarga Muhammad Aiman yang musnah sepenuhnya akibat kebakaran.

Muhammad Aiman yang juga anak kedua daripada lima adik beradik berkata, buat masa sekarang mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah nenek yang bersebelahan dengan kediaman mereka.

“Ujian hadir bertimpa-timpa sehingga ada masanya saya rasa berputus asa untuk meneruskan pelajaran sebaliknya mahu bekerja sahaja membantu bapa yang hanya mengambil upah menoreh getah untuk menampung kehidupan kami termasuk tiga lagi adik yang masih bersekolah.

“Tetapi, saya sedar hanya ilmu yang dapat membantu saya mengubah kehidupan yang lebih baik.

“Sebenarnya, saya bercita-cita untuk menjadi seorang guru dan berharap semoga ada peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Guru (IPG) selepas selesai pengajian di peringat matrikulasi,” katanya.

Sementara itu, bapanya Muhammad Zamri berharap agar anaknya itu dapat terus fokus menimba ilmu sebaiknya selepas ini bagi mengejar impian menjadi guru seterusnya memiliki kehidupan yang jauh lebih baik.

Tambahnya, dia juga berterima kasih kepada pihak Thirdforce yang menjadi satu-satunya badan bukan kerajaan (NGO) yang sudi membantu mereka sekeluarga terutama Muhammad Aiman yang sedang membuat persiapan ke Kolej Matrikulasi.

BH ONLINE