SUBANG – Pemandu Proton X50 yang merempuh cermin hadapan sebuah restoran di Jalan SS14/1 di sini, semalam, dipercayai tertekan pedal minyak.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata polis menerima laporan kejadian kemalangan itu jam 6.20 petang.
“Siasatan awal mendapati seorang lelaki yang memandu kenderaan Proton X50 hendak masuk ke kawasan parkir.
“Namun dia dikatakan tidak sengaja tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan dipandunya bergerak ke hadapan dan terlanggar bahagian cermin sebuah restoran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, tiada mangsa dilaporkan terbabit insiden itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut beliau, pemandu terbabit sudah tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Subang Jaya untuk memberi keterangan.
Beliau bagaimanapun meminta saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222.
BH ONLINE