BELURAN — Tiga buruh ladang maut manakala empat parah selepas jentera jenis traktor dinaiki mereka hilang kawalan lalu jatuh ke dalam gaung di sebuah ladang di Jalan Sapi Nangoh, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, lelaki warga Indonesia dan dua wanita warga Filipina berusia 28 hingga 42 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, kemalangan itu membabitkan tujuh individu warganegara asing yang juga pekerja di sebuah ladang.

Katanya, ketika kejadian jentera traktor dipandu lelaki warga Indonesia berusia 29 tahun bersama enam penumpang dalam perjalanan ke kawasan ladang untuk memulakan kerja.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, ketika jentera melalui jalan curam, pemandu gagal mengawal jentera lalu hilang kawalan dan terjunam ke dalam gaung.

“Tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat parah iaitu tiga wanita warga Filipina berusia 22, 26 dan 45 dan pemandu jentera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasan berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat.

“Empat mangsa lagi parah dihantar Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk rawatan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

BH ONLINE