JOHOR BAHRU — Sebanyak 35 tan sisa berminyak dikumpulkan akibat tumpahan minyak di sempadan Malaysia-Singapura, di sepanjang pesisir pantai Sungai Rengit hingga Teluk Ramunia, Pengerang, dekat Kota Tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon, berkata kutipan sisa berminyak itu hasil kerja pembersihan yang dilaksanakan kontraktor di beberapa lokasi dikenal pasti sejak Jumaat lalu hingga semalam.
Beliau berkata, kerja pembersihan dan pemantauan masih diteruskan di lokasi terbabit.
“Berdasarkan data setakat ini, sejumlah 43 jumbo beg sisa sampah berminyak dikumpulkan dan dibawa ke pangkalan kontraktor pembersihan dan tempat penyimpanan sementara di kawasan parkir MPP di Dataran Sungai Rengit.
“Kerja pembersihan juga dijalankan di kawasan baharu dikenal pasti terkesan dengan minyak iaitu di kawasan pantai berhampiran tembok pemecah ombak di Sungai Buntu.
“Kerja terbabit adalah pembersihan sisa berminyak termasuk pembersihan batu kerikil, penyemburan kawasan berbatu, pengumpulan minyak terapung dan lapisan minyak di pantai menggunakan ‘absorbent boom dan pad’.
“Kaedah yang turut digunakan ialah penyingkiran minyak tebal di kawasan berbatu menggunakan ‘absorbent pad dan cotton rag’. Selain pengepungan air berminyak dengan menggunakan ‘absorbent boom’ untuk mengelakkan mengalir ke arah laut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tian Soon berkata, status kerja pembersihan kawasan pantai tercemar untuk fasa pertama membabitkan pengumpulan sisa sampah berminyak telah siap sepenuhnya, namun tetap dalam pemantauan.
Bagi fasa kedua, beliau berkata, ia membabitkan penyemburan kawasan berbatu dan pembersihan batu kerikil siap 40 peratus.
“Keadaan kawasan pantai Sungai Rengit ketika ini dipercayai terdapat lapisan minyak yang nipis dan sisa berminyak di pantai semasa air surut.
“Kerja pengumpulan sisa sampah berminyak dan penyingkiran lapisan minyak menggunakan ‘absorbent boom dan pad’ dilaksana, dan masih dalam pemantauan.
“Beberapa kawasan yang dikenalpasti juga berada dalam status bersih tetapi masih dalam pemantauan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Pengerang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitenden Hussin Zamora ketika dihubungi mengesahkan lebih kurang 159 laporan polis diterima daripada persatuan nelayan berhubung insiden itu, setakat hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan hampir 200 nelayan di pengkalan Jeti Nelayan Sungai Rengit, Pengerang di sini terpaksa menanggung kerugian apabila tidak dapat turun ke laut akibat kesan tumpahan minyak.
Situasi itu ekoran kejadian pelanggaran kapal pada 14 Februari lalu yang membabitkan sebuah kapal dari Belanda, Vox Maxima dilaporkan melanggar kapal tangki minyak dari Singapura, Marine Honor di Terminal Pasir Panjang.
Ia menyebabkan kapal tangki minyak yang dilanggar bocor hingga berlaku limpahan minyak sebanyak 400 tan mengalir ke kawasan perairan dan laut di Terminal Pasir Panjang.
BH ONLINE