SHAH ALAM — Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan tauliah mengajar Ustaz Don Daniyal Don Biyajid di negeri ini ditarik balik.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tauliah Bil.1/2024 pada 24 Julai 2024.

“Keputusan penarikan tauliah mengajar Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dibuat berdasarkan kuasa Jawatankuasa mengikut subseksyen 118 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang dibaca bersama perenggan 17(d) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

“Surat penarikan dikeluarkan oleh Setiausaha Jawatankuasa Tauliah MAIS pada 31 Julai 2024 dan Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid diberikan tempoh 14 hari untuk merayu berkuatkuasa daripada surat penarikan tauliah diterima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Ustaz Don diberi tempoh selama 14 hari bagi memberi kenyataan bertulis selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Langkah itu dilakukan agar penggantungan atau penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap penceramah berkenaan.

Pendakwah selebriti itu disiasat mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan doktrin palsu berdasarkan beberapa aduan diterima JAIS.

Beliau yang juga sebelum ini dilaporkan ditamatkan khidmatnya sebagai pengacara program Salam Baitullah di RTM berikutan memberi kenyataan mengelirukan mengenai ibadah berpuasa pada hari tasyrik.

BH ONLINE

LATEST POSTS