ALOR SETAR — Seorang wanita berusia lingkungan 30-an dikhuatiri lemas selepas motosikalnya ditemukan dalam Sungai Pendang, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.54 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Hashim Saad tiba di lokasi bersama lima anggota.

“Setibanya di lokasi kejadian, dimaklumkan, motosikal mangsa dipercayai terbabas ke dalam sungai berdasarkan penemuan motosikal itu di sungai terbabit.

“Mangsa dikhuatiri lemas dan dihanyutkan arus sungai berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Wan Azizul Hakim berkata, anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra dan Sungai Petani tiba di lokasi untuk melakukan selaman dan pencarian di permukaan air.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan di lokasi membabitkan pasukan Bomba polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar.

Difahamkan, sungai itu mempunyai kedalaman sekitar lebih empat meter.

BH ONLINE