BUKIT KAYU HITAM — “Ketika saya berehat dalam bilik, saya terdengar bunyi kuat seperti lori membrek.
“Saya nak buka tingkap untuk melihat apa yang berlaku tetapi tak boleh kerana kontena itu sudah merempuh anjung hadapan rumah yang terletak dekat dengan bilik tidur rumah saya,” Kata Shafiqa Shafie, 37.
Dalam kejadian jam 2.30 petang tadi, bahagian hadapan rumah Shafiqa di Taman Desa Bayan Emas, di sini rosak teruk akibat dirempuh sebuah kontena.
Kejadian itu menyebabkan dua kereta dan sebuah motosikal miliknya turut rosak.
Shafiqa berkata, dia ketika itu berada seorang diri dalam rumah dan bersyukur kerana terselamat.
“Setiap hari saya mendoakan keselamatan saya, tidak sangka perkara ini boleh berlaku. Alhamdulillah Allah melindungi saya hari ini,” katanya sebak ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Menceritakan semula detik kejadian, Shafiqa berkata, dia bertindak pantas selepas mendengar bunyi kuat brek sebuah lori kontena dan terselamat daripada terkena serpihan kemalangan itu.
Suaminya, Mohd Shahrul Md Wazir, 35, pemandu lori ketika itu tiada di rumah kerana bekerja.
“Saya berlari ke dapur untuk keselamatan. Sebaik menyedari treler itu berhenti, saya bergegas keluar untuk mendapatkan bantuan jiran.
“Serpihan bahagian atas siling akibat kemalangan jatuh ke bilik tidur saya. Alhamdulillah, saya bertindak pantas dan berjaya mengelak,” katanya.
Ibu mentuanya, Jerina Halil, 62, berkata dia bersyukur dan lega kerana menantunya tidak cedera.
“Satu-satunya kerugian ialah kerosakan di bahagian depan rumah, kereta dan motosikal,” katanya yang tinggal berhampiran rumah itu.
Jerina mendakwa, kemalangan membabitkan treler adalah perkara biasa di kawasan perumahan itu dan penduduk sudah membuat beberapa aduan mengenainya demi keselamatan mereka.
Dia mendakwa, terdapat banyak treler kontena yang melalui itu dan ia amat membimbangkan mereka.
“Banyak kemalangan pernah berlaku di sini dan jiran di kawasan ini juga bercadang untuk membina tembok bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu dan berkata, siasatan masih dijalankan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan membabitkan sebuah kontena yang merempuh sebuah rumah.
“Kemalangan turut menyebabkan dua kereta dan sebuah motosikal yang parkir di rumah berkenaan, rosak.
“Setakat ini hanya pemandu lori kontena terbabit cedera ringan akibat akibat kemalangan dan kita dalam proses melakukan ujian saringan air kencing terhadap pemandu terbabit,” katanya.
BH ONLINE