KULIM — Seorang wanita warga emas maut, manakala seorang lelaki parah akibat tersepit bawah lori dalam kemalangan di Jalan Padang Serai -Tasek Gelugor, di sini hari ini.

Mangsa membabitkan wanita warga emas berusia 68 tahun, manakala seorang lelaki berusia 64 tahun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi- Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan, berkata kemalangan membabitkan sebuah lori dengan sebuah motosikal.

“Mangsa dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba menggunakan peralatan khas ‘rescue tools’, beg udara serta bantuan kren,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmir berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.25 petang dan 15 anggota dari BBP Kulim Hi- Tech dikejarkan ke tempat kejadian.

Operasi turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Tasek Gelugor, Pulau Pinang, petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia.

Difahamkan, wanita warga emas itu disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM, manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim dengan menaiki ambulans.

Katanya, operasi tamat pada jam 4.46 petang.

BH ONLINE