Warden asrama menangis teresak-esak mengaku salah 2 pertuduhan liwat

SEREMBAN – Warden asrama sebuah pusat pengajian al-Quran di Jempol, menangis teresak-esak ketika mengaku salah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan liwat dan satu pertuduhan amang seksual terhadap pelajarnya.

Tertuduh, Mohd Khairi Fitri Baharom, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah meliwat dua kanak-kanak masing-masing berusia 13 tahun empat bulan dan 10 tahun tujuh bulan serta melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun empat bulan.

Perbuatan itu dilakukan dari Disember 2023 hingga Januari lalu di pusat pengajian berkenaan di Batu Kikir, Jempol.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun dan sebat.

Bagi kesalahan liwat pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebat.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai memberi pengajaran dan pengakuan bersalah tertuduh bukan faktor peringanan hukuman.

“Dalam kes ini tertuduh seorang guru (warden) yang bertanggungjawab menjaga dan pastikan keselamatan kanak-kanak, tetapi tertuduh telah menyalahguna kuasanya dengan melakukan kesalahan seksual.

“Mohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran terhadap tertuduh dan mahkamah perlu melihat kepentingan awam melebihi daripada kepentingan tertuduh,” katanya.

Tertuduh dipenjara 6 tahun

Surita memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam tahun bermula dari tarikh tangkap serta dua sebatan serta mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling dan pengawasan polis selama setahun selepas dibebaskan.

Dalam pada itu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas enam lagi pertuduhan liwat dan enam pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak bawah umur.

BH ONLINE