NILAI — Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan selepas warga asing dalam sebuah kereta bertindak agresif ketika cuba melepaskan diri daripada diperiksa di tempat letak kenderaan sebuah pangsapuri di Bandar Baru Putra Nilai, petang semalam.
Pemeriksaan kereta Perodua Bezza yang dinaiki suspek pada jam 4.30 petang menemui dadah disyaki jenis kokain dianggarkan seberat 2,270 gram bernilai RM430,000.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim, berkata pemeriksaan itu dijalankan pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
“Pihak polis daripada JSJN Bukit Aman yang menjalankan Operasi Khas di sekitar Nilai terserempak dengan kereta dinaiki dua lelaki warga asing dalam keadaan yang mencurigakan.
“Menyedari kehadiran polis, seorang suspek bertindak agresif dan melarikan diri manakala seorang lagi suspek dapat ditangkap,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ketika melaksanakan proses tangkapan, polis melepaskan dua das tembakan bagi tujuan mempertahankan diri kerana suspek bertindak agresif.
Abdul Malil berkata, permohonan reman terhadap suspek yang ditangkap dibuat di mahkamah Seremban dan suspek dibenarkan reman selama tujuh hari bermula semalam.
BH ONLINE