JOHOR BAHRU — Jabatan Imigresen Johor menahan 23 warga asing selepas menyerbu lapan premis warga asing yang berniaga tanpa lesen sah di Taman Abad di sini, pada Jumaat lalu.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata penahanan itu dilakukan menerusi Ops Selera, Ops Jaja, Ops Belanja, Ops Kutip, dan Ops Dandan pada jam 8.10 malam.
Katanya, operasi itu dibuat susulan aduan orang ramai berhubung warga asing yang bekerja tanpa pas atau permit serta tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Mereka yang ditahan adalah tujuh lelaki warga Pakistan, tiga lelaki dan tiga wanita Indonesia, tiga lelaki India dan empat lelaki Bangladesh.
“Selain itu, masing-masing seorang lelaki Myanmar, Singapura dan Palestin masing-masing berusia 20 tahun hingga 53 tahun.
“Lelaki Singapura itu mempunyai pasport dan bekerja mengambil pesanan manakala lelaki Palestin berkenaan ditugas membuat shawarma,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Mohd Rusdi berkata tiga notis hadir ke pejabat dikeluarkan bagi membantu siasatan manakala semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Beliau berkata pihaknya turut menahan 19 warga asing termasuk tiga wanita dalam operasi di Muar pada hari sama dari jam 9 pagi hingga 9 malam.
Katanya, mereka merangkumi lima lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh, 10 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar, seorang lelaki warga India serta seorang wanita warga Indonesia yang berusia antara 23 hingga 50 tahun.
“Siasatan awal mendapati warga asing ini memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), namun mereka menyalahgunakan pas terbabit untuk bekerja di tempat lain,” katanya.
Mohd Rusdi berkata semua disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
Selain itu, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal di Malaysia lebih masa, Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.
“Kita harap orang ramai yang mempunyai maklumat tepat tentang keberadaan pendatang tanpa izin menghubungi segera kami menerusi talian 07-2338400 atau emel ke https://imi.spab.gov.my,” katanya.
BH ONLINE