KUALA LUMPUR – Sekumpulan wartawan dari China yang membuat liputan lawatan Presiden Xi Jinping di Malaysia, memilih nasi kandar sebagai hidangan makan tengah hari mereka.

Ada juga dalam kalangan wartawan berkenaan tidak melepaskan kesempatan untuk menjamah hidangan popular rakyat Malaysia itu bagi ‘merawat’ kerinduan, apabila pernah melanjutkan pengajian di universiti awam tempatan.

Menurut Liang Liang atau nama Melayunya Husna, kesempatan itu diambilnya bersama teman yang lain sebelum menghadiri sesi wawancara dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.

“Kami media dari China. Kami akan membuat liputan di Putrajaya dan memilih makan nasi kandar di sini, untuk membawa kenangan pulang ke negara (China),” katanya menerusi video yang dimuatnaik di akaun TikToknya hari ini.

Dalam video berdurasi satu minit 57 saat itu, Husna bersama empat wartawan dari China dilihat tidak canggung atau saling tak tumpah seperti orang tempatan apabila memesan hidangan itu dalam bahasa Melayu.

Pelbagai lauk kelihatan dalam pinggan masing-masing dengan nasi ‘dibanjiri’ dengan kuah campur

Antara lauk yang mereka pilih adalah sotong, rendang, ayam goreng dan pelbagai lagi.

Selain nasi kandar, ada wartawan dari republik berkenaan juga memesan minuman yang sinonim dengan Rakyat Malaysia iaitu sirap ais.

Tidak kurang juga hidangan itu menjadi pengubat detik seorang dari wartawan terbabit yang pernah menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2006.

“Semuanya (wartawan dari China) bercakap bahasa (Melayu) dan order (memesan) hidangan Malaysia.

“Kumpulan wartawan China yang bercakap bahasa Melayu dah sampai Putrajaya untuk wawancara dengan PM (Perdana Menteri).

“Kena hati-hati ketika makan. Jangan kotorkan suit (sut),” kata Husna yang juga pensyarah bahasa Malaysia di Yunnan Minzu University.

BH ONLINE


Facebook Posts