
ANKARA, 28 Mac – Wartawan Sweden, Kaj Joakim Medin, yang berada di Turki untuk membuat liputan terhadap penahanan Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu, dipenjarakan sementara menunggu perbicaraan atas tuduhan keganasan, kata Pejabat Ketua Pendakwa Raya Ankara Turki pada Jumaat.
Medin telah ditahan di Istanbul sebagai sebahagian daripada siasatan yang dilancarkan selepas protes di Stockholm pada Januari 2023, di mana patung menyerupai Presiden Tayyip Erdogan digantung di luar dewan bandaraya.
Pihak berkuasa berkata, Medin adalah antara 15 suspek yang dikenal pasti kerana menganjurkan, mempromosi atau dikaitkan dengan demonstrasi itu.
Medin didakwa “menghina presiden” dan “keanggotaan dalam organisasi pengganas”.
Majikannya, akhbar Dagens ETC, telah menimbulkan kebimbangan mengenai keberadaannya selepas dia tidak dapat dihubungi selama dua hari.
Ketua Pengarang Dagens ETC Andreas Gustavsson memberitahu TV4 Sweden bahawa Medin tidak melakukan apa-apa kesalahan dan hanya dihukum kerana melakukan tugasnya sebagai wartawan.
Pihak berkuasa Turki juga memetik laporan masa lalu Medin dari zon konflik di Syria, Iraq dan tenggara Turki antara 2014 dan 2017.
Dia secara rasmi ditangkap melalui sidang video oleh mahkamah Ankara selepas disoal siasat di Istanbul.
Sweden telah meminta duta Turki ke Stockholm untuk menjelaskan dakwaan terhadap Medin dan menuntut beliau menerima akses segera kepada perkhidmatan konsular, kata Menteri Luar Sweden Maria Malmer Stenergard kepada penyiar awam SVT.
REUTERS