KUALA LUMPUR — Bekas pembantu penyelidik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther, ditahan kerana didakwa memiliki dua pucuk pistol dan ganja seberat 305 gram dalam kereta dinaikinya, Jumaat lalu.

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata Muhammed Yusoff ditahan sepasukan anggota polis di ibu negara kira-kira jam 9.30 pagi.

Muhammad Rafique berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas reman di bawah Akta Senjata Api 1960 ditolak.

Katanya, Muhammed Yusoff menafikan dadah dan pistol itu miliknya, sebaliknya mendakwa ia diletak oleh pihak yang berdendam atau permusuhan bagi memerangkap dirinya.

“Ujian saringan air kencing negatif dan nama individu yang dipercayai bertanggungjawab dan mempunyai hubungan dengan pemimpin politik juga sudah diberikan.

“Kami sudah memohon membuat laporan polis bagi menyokong dakwaan itu,” katanya.

Beliau berkata, laporan polis dibuat supaya pembelaan Yusoff dapat dilakukan seawal mungkin supaya tidak dilabel sebagai rekaan atau difikirkan kemudian.

Reman terhadap Muhammed Yusoff tamat esok dan perkembangan selanjutnya akan diketahui lewat petang ini.

BH ONLINE

LATEST POSTS