Yusoff Rawther lepas, bebas serta-merta kes miliki dadah, pistol tiruan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan.

Dalam penghakiman ringkasnya, Muhammad Jamil berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan Muhammed Yusoff, 32, mempunyai kawalan, jagaan dan pemilikan ke atas dua pistol dan dadah berkenaan.

“Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan juga, mahkamah mendapati adalah tidak selamat untuk mahkamah ini mensabitkan tertuduh atas kesalahan-kesalahan yang dipertuduhkan terhadapnya.

“Oleh itu tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan dihadapi tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya.

Tertuduh diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman.

Muhammad Jamil berkata, pihak pendakwaan perlu menunjukkan tertuduh mempunyai jagaan atau kawalan serta pengetahuan ke atas dadah dan dua pistol berkenaan.

“Tidak dipertikaikan bahawa pemeriksaan ke atas kereta Nissan Teana milik tertuduh semasa operasi, saksi pendakwaan pertama (SP1), Inspektor Wan Muhammad Wan Ali menemui satu beg hitam mengandungi dua pistol di tempat duduk hadapan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur oleh SP6 (Koperal Amirul Azwa Zahari) menemui satu bungkusan plastik hitam mengandungi dadah di tempat duduk belakang kereta yang dibuka.

“Memang benar kereta itu didaftarkan atas nama tertuduh dan milik tertuduh serta kunci dan alat kawalan jauh kereta dalam milikan tertuduh. Tidak dinafikan juga, tertuduh berada berhampiran kereta dan membuka pintu kereta itu semasa operasi dijalankan,” katanya.

Menurut hakim itu, keterangan dikemukakan pidak pendakwaan tidak boleh menjawab persoalan berkenaan, sekali gus wujud jurang dalam kes pendakwaan mengenai kawalan eksklusif tertuduh ke atas kereta itu dan jagaan atau kawalan tertuduh ke atas dadah dan pistol terbabit.

“Tiada keterangan menunjukkan tertuduh dalam keadaan mencurigakan semasa pistol dan dadah dijumpai, sebaliknya tertuduh memberitahu SP1 bahawa dia tidak tahu beg hitam yang mengandungi pistol dan bungkusan plastik hitam mengandungi dadah,” katanya.

Muhammed Yusoff didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan yang dinaikinya di hadapan surau IPK Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 September tahun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa atas pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini pada 9.25 pagi, 6 September tahun sama.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Muhammed Yusoff pada sidang media sebaik pembebasannya, bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada keluarga, peguam serta seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan serta memberi sokongan kepadanya.

“Saya rasa kemenangan hari ini adalah untuk semua rakyat Malaysia. Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada pegawai penjara yang menjaga keselamatan serta kebajikan saya selama saya berada di penjara,” katanya.

BH ONLINE