KUCHING – Kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang bersama bapanya selepas pikap dinaiki dua beranak itu dihanyutkan arus deras Sungai Sengayan di kawasan Hulu Baram, pedalaman Bahagian Miri, pagi tadi, ditemukan lemas.
Penemuan mayat Vallerie Mentie Dawellies, 9, dimaklumkan oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Long Jekitan, kepada pihak bomba pada petang ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, bagaimanapun berkata maklumat lengkap berhubung penemuan itu belum diperoleh, setakat ini.
“Berdasarkan maklumat guru besar itu, kanak-kanak terbabit dijumpai sudah meninggal dunia oleh penduduk kampung, namun lokasi dan masa penemuan belum diperoleh.
“Mayat mangsa sudah dibawa ke rumah keluarga mangsa di Kampung Long Tikan,” katanya.
Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini diteruskan untuk mengesan bapa mangsa dikenali sebagai Dawellies Luing, 46.
Dawellies yang bertugas sebagai Pembantu Pengurusan Murid (PPM) di SK Long Jekitan, dilaporkan menaiki pikap jenis ‘single cab’ bersama anaknya itu ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan.
Bagaimanapun, mereka hanyut bersama kenderaan itu selepas gagal meredah arus deras sungai berkenaan.
Bomba menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pegawai Ibu Polis Daerah (IPD) Marudi pada jam 12 tengah hari tadi.
Difahamkan, lokasi kejadian itu hanya boleh dilalui pikap dan mengambil masa perjalanan antara 10 hingga 12 jam menerusi jalan balak serta laluan sungai.
Susulan insiden berkenaan, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi yang diketuai PBKI Nasir Razali bergegas ke lokasi.
BH ONLINE