KUALA LUMPUR – Polis mengesyaki kejadian menyimbah cat ke atas kedai serbaneka KK Mart dalam Universiti Malaya (UM) di sini, Selasa lalu, dilakukan oleh dua individu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata kelibat dua individu terbabit juga dikesan dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Rakaman CCTV menunjukkan kedua-dua individu yang menaiki sebuah motosikal berada berhampiran premis berkenaan pada hari waktu kejadian dipercayai berlaku.

“Pada masa ini usaha mengenal pasti mereka sedang dilakukan,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Rusdi turut merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil memaklumkan kepada pihak polis.

Dalam perkembangan berkaitan, UM sebelum ini sudah membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku tengah malam Selasa lalu itu.

UM dalam kenyataannya Rabu lalu memaklumkan, memandang serius kejadian simbah cat merah di premis KK Mart dalam kampus mereka.

Dalam kenyataan itu juga, pihak UM menggesa tindakan tegas dapat diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab bagi memastikan kejadian sama tidak berulang selain menyeru supaya mereka yang mempunyai maklumat untuk menyalurkannya kepada pihak polis.

BH ONLINE