PHNOM PENH – Tiga penduduk kampung maut di wilayah Ratanakiri timur laut Kemboja pada Rabu selepas mengambil wain beras buatan sendiri, yang disyaki mengandungi “paras metanol yang tinggi,” kata laporan kesihatan tempatan.
Insiden itu berlaku di kampung Yasom di komune Soeung daerah Bakeo selepas mangsa meminum wain beras yang mungkin tercemar, kata laporan daripada Pasukan Tindak Balas Kecemasan Jabatan Kesihatan Wilayah Ratanakiri.
Mangsa yang maut membabitkan dua lelaki dan seorang wanita, berusia antara 54 dan 78 tahun, kata laporan itu, sambil menambah dua lagi dimasukkan ke hospital dalam kes itu.
“Mangsa mengalami gejala seperti sakit perut, batuk, kesukaran bernafas dan kerengsaan mata,” kata laporan itu.
Ia menambah bahawa sampel wain tercemar telah dikumpulkan untuk ujian makmal.
Jabatan Penerangan Wilayah Ratanakiri melaporkan bahawa tidak lama selepas kejadian tragis itu, Gabenor Wilayah Ratanakiri Nhem Sam Oeun mengarahkan pihak berkuasa menutup sementara semua kilang arak beras tempatan, sementara menunggu keputusan ujian makmal wain itu.
Wain beras popular di kawasan luar bandar di negara Asia Tenggara itu kerana harganya yang murah.
XINHUA