SANAA – Angka kematian akibat serangan udara baru AS di pinggir barat ibu kota Yaman, Sanaa meningkat kepada enam, dengan 13 yang lain cedera, kata pihak berkuasa kesihatan dikendalikan Houthi dalam satu kenyataan terkini pada Ahad.
Serangan itu menyasarkan sebuah kilang seramik di daerah Bani Matar, kata penduduk dan pihak berkuasa kesihatan. Deruman jet pejuang dilaporkan kedengaran di seluruh Sanaa sebelum dan selepas serangan udara.
Secara berasingan, pesawat perang AS melakukan dua serangan tambahan di wilayah utara Marib dan Al-Jawf, menurut TV al-Masirah dikendalikan Houthi. Ia menyatakan bahawa serbuan udara terkini telah menjadikan jumlah serangan udara AS di utara Yaman sepanjang hari kepada 25.
Beberapa jam sebelum itu, kumpulan Houthi mengaku bertanggungjawab atas tiga serangan udara ke atas sasaran Israel, termasuk pangkalan tentera Sdot Micha dan lapangan terbang Ben Gurion di tengah Israel, serta “sasaran penting” yang tidak ditentukan di kawasan Ashkelon, selatan Israel.
Terdahulu pada hari itu, tentera Israel berkata peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman “kemungkinan dipintas” oleh sistem pertahanan udaranya sebelum memasuki ruang udara Israel.
Ketegangan meningkat antara kumpulan Houthi dan Amerika Syarikat, serta sekutunya Israel, dalam beberapa minggu kebelakangan ini, terutama sejak tentera AS meneruskan serangan udara pada 15 Mac terhadap sasaran Houthi bagi menghalang kumpulan itu daripada menyerang kepentingan Israel dan AS di rantau ini.
Bagaimanapun, serangan AS telah gagal menghalang militia. Dalam perkembangan baru-baru ini, kumpulan Houthi pada Sabtu mengeluarkan amaran terhadap sebarang kemungkinan operasi darat pimpinan AS di Yaman, berikrar untuk bertindak balas dengan “neraka”.
Ancaman itu datang di tengah-tengah laporan yang beredar di media tempatan Yaman yang menunjukkan bahawa Amerika Syarikat mungkin sedang bersedia untuk menyokong tentera kerajaan Yaman dalam kempen darat untuk merebut semula Sanaa dan kawasan utara lain yang kini di bawah kawalan Houthi.
Houthi, yang menguasai kawasan luas di utara Yaman, telah menyerang sasaran Israel sejak November 2023 bagi menunjukkan solidariti dengan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza. Militia berpangkalan di Yaman itu mendakwa bahawa ia akan menghentikan operasi jika Israel menamatkan perang yang berterusan di Gaza serta membenarkan makanan dan ubat-ubatan penting masuk ke jalur itu.
XINHUA