TAWAU – Tujuh lelaki termasuk seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dipercayai terbabit pergaduhan ketika urusan tarik kereta di sebuah stor penyimpanan kenderaan dekat Batu 5 Jalan Apas, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata tangkapan susulan laporan dibuat mangsa yang mendakwa diserang dan dipukul sekumpulan lelaki menggunakan batang paip.
Beliau berkata, mangsa, 40, yang bekerja sebagai ejen penarik kenderaan berdaftar dikatakan dihalang suspek dikenalinya itu ketika hendak menyimpan sebuah kenderaan ditarik ke dalam stor berkenaan sebelum dipukul beramai-ramai.
“Dalam pergaduhan itu juga, seorang suspek sempat mengeluarkan sebilah pisau dan cuba menikam mangsa namun berjaya dielak.
“Mangsa hanya mengalami cedera ringan pada pada tangan kiri,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Susulan itu, Jasmin berkata, pihaknya mengesan semua suspek sebelum beberapa siri tangkapan dan rampasan barang kes dijalankan di sekitar daerah ini, semalam.
Hasil semakan mendapati enam daripada mereka berusia antara 22 hingga 68 tahun itu pernah ditangkap dan disabitkan pelbagai kes jenayah termasuk penyalahgunaan dadah.
“Motif sebenar kejadian masih disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, selain serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1958/63,” katanya.
BH ONLINE