KUALA LUMPUR — Polis tidak menemui bukti yang boleh mengaitkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan suami dengan kegiatan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar seperti didakwa sebelum ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika mengesahkan perkara itu, berkata semakan polis mendapati tiada pelaburan dibuat beberapa individu termasuk Mashitah di luar negara yang didakwa ada kaitan dengan sindiket terbabit.

Katanya, dapatan siasatan itu berdasarkan hasil analisis beberapa akaun bank individu yang mendapati wang dalam akaun itu adalah simpanan selain hasil rakaman percakapan ke atas 11 individu termasuk Mashitah dan suaminya.

“Sebelum ini kita ada mengesahkan keberadaan ahli politik itu bersama suaminya serta tiga lagi individu ke Myanmar untuk urusan pelaburan hartanah namun siasatan mendapati tiada sebarang pelaburan dibuat.

“Siasatan terhadap ahli politik dan suaminya itu tidak menjurus kepada sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, katanya siasatan kes itu masih diteruskan dengan fokus kepada peranan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang disyaki sebagai dalang dalam mengenal pasti pelabur-pelabur yang berpotensi untuk melabur di Myanmar.

“Kita juga menyiasat peranan lelaki terbabit yang disyaki mengambil kesempatan untuk menjana keuntungan dari pelabur-pelabur yang berjaya dipujuk.

“Ini juga bagi mengenal pasti perhubungan antara beberapa individu serta dua ahli perniagaan rakyat China,” katanya.

Pada 28 Ogos lalu, media melaporkan seorang ahli politik yang juga bekas timbalan menteri didakwa terbabit dengan sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa beroperasi di Myanmar sejak awal 2020.

Sebelum itu, tular sebuah video pembongkaran sindiket di Myanmar itu menerusi YouTube yang diterbitkan di Indonesia dengan memaparkan rakyat negara itu turut menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Berikutan itu, Mashitah membuat laporan polis berkaitan tuduhan berkenaan selain tampil memberi keterangan di Bukit Aman.

BH ONLINE