IPOH — Empat individu termasuk tiga pegawai Jabatan Imigresen Perak ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penerimaan wang rasuah Program Repatriasi Migran (PRM).

Permohonan reman ke atas mereka yang berumur antara 30 hingga 55 tahun itu dibenarkan oleh Majistret Siti Nora Shariff mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, bermula hari ini.

Difahamkan, tiga warga kerja Jabatan Imigresen itu berpangkat penguasa (KP42) dan pegawai Imigresen masing-masing bertaraf KP19 dan KP22 manakala seorang lagi ejen pekerja asing.

Mereka yang terdiri tiga lelaki dan seorang wanita itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perak, di sini antara petang semalam hingga malam tadi.

Mereka disyaki terbabit dalam aktiviti meminta dan menerima wang rasuah berjumlah antara RM50 sehingga RM300 dari setiap pekerja asing yang ingin pulang ke negara asal secara sukarela melalui PRM.

Wang rasuah yang diterima itu adalah sebagai balasan untuk mempercepatkan kelulusan program terbabit dengan aktiviti itu dikesan bermula sejak dari Mac hingga September 2024.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

BH ONLINE